TITLE; Salam Syawal :)
Saturday, August 17, 2013 | 8:50 AM | 0 comments
Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.Aku mahu menjadi seteguh karang di lautan. Biarpun dilanda tsunami yang besar sekalipun, namun tetap teguh di tempatnya. Ibarat seteguh karang di lautan, sekukuh itu juga pegangan ini padaMu ya Rabbi.
Hati manusia itu ibaratnya gelodak buih-buih air mendidih yang turun naik. Imannya akan berkurang dan ada masanya bertambah. Faktor-faktor luaran sentiasa menerjah dalam pelbagai bentuk ujian dan dugaan.
Insan, hanyalah hamba yang lemah. Mana mungkin hati tidak langsung digugat lemah ditimpa mehnah, mana mungkin air mata tidak menitis di pipi menghadapi segalanya.
Namun, manusia yang lemah itu nescaya akan menjadi kuat hatinya seteguh karang di lautan biarpun dilanda tsunami dugaan yang entah ke berapa kali dalam hidupnya.
Namun, hati manusia itu hanya akan kuat dengan pergantungan yang kukuh dan kemas kepada PenciptaNya. Teguhkanlah hati kita denganNya. Mana mungkin ada yang lebih kuat peliharaannya daripada peliharaan Allah, Tuhan alam semesta.
Siapakah yang menciptakan makhluk? Siapakah yang lebih berkuasa? Maka siapakah yang akan menang dalam pertempuran ini? Yang manakah akan menang, makhluk tanpa Allah atau makhluk bersama Allah?
Tiada yang lebih hebat tanpa Allah.
La hawlawala quwwata illa billah.
Tiada daya dan kekuatan (untuk menolak sesuatu kemudharatan dan mendatangkan suatu yang manfaat) selain Allah SWT.
Rasulullah SAW bersabda :
“Siapa yang mengucapkan La Haula Wala Quwwata illa billahi, maka ia akan menjadi ubat kepada 99 penyakit. Yang paling ringan adalah kebimbangan”.
(Hadis Riwayat Thabrani)
Setiap yang berlaku kepada mana-mana makhluk hatta sekecil zarah sekalipun adalah dengan izinNya. Dan sekiranya kemudharatan diizin olehNya, maka tiada apapun yang dapat menghalangnya. Dan jika Allah mengkehendaki kebaikan untuk seseorang, maka tiada siapapun yang mampu menahannya.
Sungguh, bagi orang-orang yang beriman yang memegang teguh taliNya dan keimanan sentiasa bersemayam di hatinya, Allah tidak akan pernah meninggalkannya.
FirmanNya:
"Tidak ada suatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah; dan barangsiapa yang beriman kepada Allah nescaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha mengetahui segala sesuatu. " (At-Taghabun :11)
Walau sukar perjalanan ini
Tidak akan gentarku menghadapi
Sekiranya telah tertulis oleh Ilahi Rabbi
Rela ku diuji
Kerana ku tahu kasihNya kepada diri
Tiada yang mampu menggugat diri
Melainkan Allah mengizinkan
Tiada yang mampu menggugat bahagia
Yang ingin kugapai hingga ke negeri akhirat
Kerana ku tahu selagi namaNya ku dakap erat
Hanya denganNya diriku selamat
Bahagia diriku tidak akan dapat ditampan
Selagi dihatiku masih ada Allah yang pertama sebagai Tuhan.
Tidak akan ada kamu
Yang mampu merampas bahagiaku
Kerana hanya dengan ketenangan hati
Yang telah dikurnia Ilahi
Mampu memberi bahagia hakiki —
#SHR. MAAF ZAHIR & BATIN. تقبل الله منا ومنكم